Sunday, November 1, 2009

Pemimpin Kita Sekarang

Salam Satu Malaysia,
Kita pasti tergamam melihat sendiri bagaimana situasi pembentangan bajet dalam persidangan DUN di Perak. Kita tidak akan berasa bangga tetapi mual melihat gelagat orang-orang politik kita berkelakuan tidak ubah seperti kanak-kanak yang bergaduh dek kerana kalah bermain guli. Bagaimana rakyat hendak hormat dan bergantung harap kepada pemimpin seperti ini untuk membantu mereka sedangkan pemimpin asyik dan terlalu leka untuk bergaduh. Bak kata orang, "gajah sama gajah bergaduh, pelanduk di tengah-tengah". Tolonglah...rakyat sudah muak melihat pergaduhan sesama pemimpin, nasib rakyat pula tidak terbela. Jangan hanya gah melaungkan dasar dan ideologi politik yang kononnya lebih kepada pembelaan nasib rakyat. Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang turun mendengar masalah rakyat, yang menyelesaikan masalah rakyat dan yang sentiasa dekat dengan rakyat.

Saturday, June 27, 2009

Yang Berhormat...Yang Terhormat???

Setiap kali saya menonton televisyen ada sahaja perkara yang melucukan yang boleh kita lihat dan dengar bersama. Saya tertarik dengan slot berita lebih-lebih lagi kalau ia mempertontonkan kita dengan apa yang berlaku di parlimen ketika semua insan yang bergelar "Yang Berhormat" (YB) sedang asyik bercakaran sesama sendiri. Apa yang melucukan malah mungkin mengecewakan kita ialah percakaran sesama mereka mengalahkan budak-budak kecil. Sebaik-baiknya ketika berada di tempat terhormat seperti parlimen, YB sepatutnya membawa masalah rakyat dan apa sahaja yang diusul untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat diutarakan terlebih dahulu. Banyak masa dan tenaga dibazirkan untuk memperli, menghina atau membidas perkara-perkara yang remeh-temeh dan tidak berkaitan dengan usul yang hendak disampaikan. Ke mana hilangnya nilai 'terhormat' dan profesionalisme sebagai YB?
Contoh yang paling jelas dan nyata ialah barisan pembangkang yang dibarisi oleh DAP dan PAS akan lebih cepat melenting dan gemar mencelah setiap kali wakil kerajaan BN mengemukakan usul mereka. Apa sahaja yang dikemukakan oleh kerajaan pasti akan dibangkang atau dibidas walaupun mereka sebenarnya tahu dan sedar bahawa ia adalah untuk kebaikan rakyat. Well..inilah peranan pembangkang...asyik membangkang sahaja. Kita pasti terkejut apabila mendengar seseorang yang bergelar YB boleh mengeluarkan kata-kata kesat, menggunakan istilah dan gelaran yang tidak sopan terhadap YB yang lain. Tunding-menunding, pukul-pukul meja dengan penuh emosi dan engkar dengan peraturan dewan sehingga mencetuskan situasi huru-hara merupakan suatu tindakan yang sia-sia. Macam budak-budak sekolah. Inikah yang hendak kita tunjukkan kepada rakyat sedangkan di kalangan YB terdiri daripada golongan yang cerdik pandai dan profesional. Kalau hendak membidas atau menolak terus perkara yang disampaikan oleh seseorang YB, janganlah bertindak seperti anak-anak kecil. Jangan kerana ia disiarkan di kaca televisyen maka YB boleh gunakan peluang itu untuk 'menyerang' kerajaan. Penonton kita boleh menilai mana yang baik dan tidak baik. Justeru itu tidak perlulah YB tunjukkan semangat perjuangan yang mewakili parti masing-masing. Rakyat lebih berminat untuk mendengar rancangan atau pelan pembangunan yang bakal diusul daripada melihat percakaran sesama YB di kaca televisyen. Jangan kerana sikap kebudakan YB maka YB hilang kehormatan di mata rakyat.
Perjuangan tiada batasan, pengorbanan ialah keikhlasan dan kerana keikhlasan kita mendapat kehormatan.

Thursday, June 11, 2009

Pengukuhan Permuafakatan Pakatan Rakyat...harapan dan anganan semata-mata?

Salam,

Baru-baru ini DSAI telah mengulangi sekali lagi pernyataan beliau akan mengukuhkan komitmen PKR dalam usaha untuk melangsungkan Agenda Perubahan. Sudah tentunya DSAI cuba membuat pakatan bersama dengan PAS dan DAP. Tetapi sehingga kini kedua-dua parti ini bagaikan hendak tak hendak saja nampaknya. Bagaimana mungkin ketiga-tiga parti ini boleh bekerjasama kalau permuafakatan di antara mereka belum lagi wujud. Rambut sama hitam, dalam hati masing-masing lain.
Lihatlah DSAI sekarang. Beliau seakan sudah keseorangan selepas Allahyarham Ustaz Fadhil Noor meninggal dunia. (al-fatihah)...Ke mana hala perjuangan PKR sebenarnya kita tidak tahu. Wujudnya PKR kerana ingin membalas dendam selepas penangkapan DSAI yang menjadi tahanan ISA. Kita tidak tahu bahawa perjuangan PKR lebih bersifat peribadi dan bukan sebenarnya untuk rakyat.
Malah di kalangan ahli PAS sendiri sudah menunjukkan penentangan terhadap DSAI sehingga digelar sebagai kelompok orang-orang DSAI. Itulah yang berlaku kepada Husam Musa. Kita sedia maklum bahawa Gelombang Reformasi 1998 pimpinan DSAI melonjak kebangkitan PAS. Akhirnya tinggal seorang. Yang untung adalah PAS. DAP pula mengukuh dan main peranan terjah sana-sini.
Sudah banyak kali kita dikhabarkan dengan berita PKR, DAP dan PAS bakal menjadi satu parti pakatan rakyat. Perasaan sangsi antara ketiga-tiga parti ini tidak akan membolehkan mereka menjadi pakatan rakyat. Masing-masing menunjukkan sikap tunggu dan lihat. Penubuhan pakatan rakyat ini hanya sekadar harapan dan anganan.
Akhir kalam, salam Barisan, berjuanglah untuk kebenaran dan bukan hanya untuk kemenangan. Kalau kemenangan yang diutama, maka kemenangan lebih cepat menjatuhkan kita.

Wednesday, June 10, 2009

Agama Jadi Loncatan

Salam,
Sekarang ni macam-macam cara orang gunakan untuk mendapat perhatian malah untuk memperluaskan pengaruh. Sudah tentunya setiap orang akan menjunjung agama terlebih dahulu kalau diberikan pilihan antara duniawi dan agama. Kalau tiang agama roboh maka akan rosaklah manusia. Sayangnya dalam dunia kita yang dipenuhi dengan pelbagai karenah ini, agama dijadikan senjata loncatan untuk mengukuhkan dan memperluaskan pengaruh. Apa hendak jadi dengan masyarakat kita sekarang...
Contohnya, PAS menjanjikan sesiapa yang bernaung di bawahnya maka mereka itu sudah dijamin akan masuk syurga. Kenapalah jadi begini...Mungkinkah mereka sudah tiada ikhtiar untuk memancing perhatian, sokongan dan pengaruh dari rakyat. Janganlah begitu. Setiap manusia ada kelemahan dan kita semua bukanlah dari kalangan insan yang kamil. Bukan bermakna, mereka dari kalangan yang sentiasa meletakkan serban di atas kepalanya tidak
pernah melakukan dosa. Apabila retak rumah (PAS), masing-masing berasa goyah dan mula mencari rentak baru untuk meraih sokongan. Ini amat jelas dalam pemilihan orang-orang besar PAS untuk menerajui parti ini baru-baru ini. Kita semua maklum, sememangnya sudah ada keretakan dalam PAS. Mungkin tidak sebulu lagi, kesefahaman antara "anak-anak" PAS juga sudah mulai pudar. Tidak hairanlah anak-anak PAS ini hilang arah tuju, berjuang dengan cara sendiri. Apa yang menyedihkan, berjuang dengan cara menghambur maki-hamun dan provokasi menjadi pilihan. Agama menjadi senjata kuasa.
Walau apa pun, anak-anak Barisan akan tetap berdiri teguh, dan akan bersama-sama menjaga kerukunan dan keharmonian negara tercinta.

Malaysiaku Tercinta...



Salam perjuangan...Konsep satu Malaysia? Isunya memenuhi di dada akhbar. Dalam keriuhan melaungkan konsep satu Malaysia tidak dinafikan masih ada suara-suara yang menyatakan kurang senang atau tidak puas hati. Konsep satu Malaysia sudah lama wujud namun perkara seperti identiti bangsa "lain-lain" ketika perlu mengisi borang menunjukkan sedikit kepincangan dalam konsep ini. Bukan hendak mengkritik, sekadar untuk berkongsi pendapat dan renungan kita bersama.