Saturday, June 27, 2009

Yang Berhormat...Yang Terhormat???

Setiap kali saya menonton televisyen ada sahaja perkara yang melucukan yang boleh kita lihat dan dengar bersama. Saya tertarik dengan slot berita lebih-lebih lagi kalau ia mempertontonkan kita dengan apa yang berlaku di parlimen ketika semua insan yang bergelar "Yang Berhormat" (YB) sedang asyik bercakaran sesama sendiri. Apa yang melucukan malah mungkin mengecewakan kita ialah percakaran sesama mereka mengalahkan budak-budak kecil. Sebaik-baiknya ketika berada di tempat terhormat seperti parlimen, YB sepatutnya membawa masalah rakyat dan apa sahaja yang diusul untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat diutarakan terlebih dahulu. Banyak masa dan tenaga dibazirkan untuk memperli, menghina atau membidas perkara-perkara yang remeh-temeh dan tidak berkaitan dengan usul yang hendak disampaikan. Ke mana hilangnya nilai 'terhormat' dan profesionalisme sebagai YB?
Contoh yang paling jelas dan nyata ialah barisan pembangkang yang dibarisi oleh DAP dan PAS akan lebih cepat melenting dan gemar mencelah setiap kali wakil kerajaan BN mengemukakan usul mereka. Apa sahaja yang dikemukakan oleh kerajaan pasti akan dibangkang atau dibidas walaupun mereka sebenarnya tahu dan sedar bahawa ia adalah untuk kebaikan rakyat. Well..inilah peranan pembangkang...asyik membangkang sahaja. Kita pasti terkejut apabila mendengar seseorang yang bergelar YB boleh mengeluarkan kata-kata kesat, menggunakan istilah dan gelaran yang tidak sopan terhadap YB yang lain. Tunding-menunding, pukul-pukul meja dengan penuh emosi dan engkar dengan peraturan dewan sehingga mencetuskan situasi huru-hara merupakan suatu tindakan yang sia-sia. Macam budak-budak sekolah. Inikah yang hendak kita tunjukkan kepada rakyat sedangkan di kalangan YB terdiri daripada golongan yang cerdik pandai dan profesional. Kalau hendak membidas atau menolak terus perkara yang disampaikan oleh seseorang YB, janganlah bertindak seperti anak-anak kecil. Jangan kerana ia disiarkan di kaca televisyen maka YB boleh gunakan peluang itu untuk 'menyerang' kerajaan. Penonton kita boleh menilai mana yang baik dan tidak baik. Justeru itu tidak perlulah YB tunjukkan semangat perjuangan yang mewakili parti masing-masing. Rakyat lebih berminat untuk mendengar rancangan atau pelan pembangunan yang bakal diusul daripada melihat percakaran sesama YB di kaca televisyen. Jangan kerana sikap kebudakan YB maka YB hilang kehormatan di mata rakyat.
Perjuangan tiada batasan, pengorbanan ialah keikhlasan dan kerana keikhlasan kita mendapat kehormatan.

No comments:

Post a Comment